Sunday, 27 May 2012

MILIKAN AKU UNTUK DIA




Kuisan ke hati,
Mencari sinar jawapan,
Untuk ketentuanku,
Menghadap esok,
Penyudah kepada yang dimula,
Muncul dalam surihan,
Antara nyata dan tidak,
Antara pasti dan tidak,
Keperluan atau kehendak,
Pilihan menjuih muka,
Dalam tanganku,
Tetapi,
Bukan untukku,
Sayang.


Friday, 25 May 2012

KERNA AKU BUKAN BINTANG




Kerna aku bukan bintang,
Yang bersinar dari kejauhan,
Mencorak dada langit,
Buat nakhoda melayar bahtera,
Setia pada letaknya,
Untuk memagari bulan,

Dan kerna aku bukan bintang,
Yang menghilang,
Pabila malam diguris hujan,
Cuma sinarnya kelam,
Dimamah gumpalan awan hitam,
Yang melintang jalanku,

Aku hanya tetap aku,
Biar bintang begemerlapan,
Biar bulan seri bersama teman,
Walau ribut menelan awan,
Dan gerhana memarahkan malam,
Itulah aku kini dan selamanya.

Mimpi malamku,
Lena terulit damai,
Dan bintang itu,
Benar tidak memberi erti,
Yang menjulang cahaya,
Sedikitpun tidak menghangatkan,
Dingin malam tetap mencengkam.

Sungguh bukan dayaku,
Membawa bulan ke ribamu,
Terbanglah ke angkasa,
Kerna aku bukan bintang.




Thursday, 24 May 2012

SELEPAS SEDETIK




Meski aku lari meninggal waktu,
Bayangan itu tetap mengejar,
Menuntut hukuman masa lampau,
Kerana hanyut dalam kealpaan,
Bengisnya menghambat simpati,
Lari melingkar dari celahan hati,
Bersama gadaian masa tanpa tebusan,
Akur mengulit perasaan,
Mengenal belikat lemah sang hamba,
Lalu sujudku atas hamparan nyata,
Tetapi nyawa masih lagi pinjaman,
Untuk bangkit berdiri,
Dan mengukir liku yang mendatang,
Sampai sebelum menutup mataku.