Wednesday, 27 June 2012

TINTA SIKSA KEPADA SYURGA


Pada mata yang berkiblatkan dunia,
Maka tertancaplah sebuah bahagia sementara derita,
Pada kata yang berdiri atas kuasa,
Lalu hampalah mereka sebelum tertawa,
berdiri di bumi yang bukan miliknya,
Menjadi gundah yang memusuhkan manusia,
Tetapi semua berdusta,
Untuk harga seuntai nyawa berdosa,
 menutup mulianya minda dan jiwa.

Keringat yang pasti jatuh,
Darah dan air mata lusuh,
Bukti kepada perjuangan kosong tanpa medan,
Yang mengharapkan mentari buta untuk berlabuh,
Dan hari esok menungguku di neraka dunia,
Hatta beranikah kalian menghadap kekalahan ?
Lunas sebuah dendam pada sebuah pintalan hujah,
Kejamkah kita untuk sesuatu yang hak,
Pabila hati mati dimamah saudara.

Kepincangan isi mulai terurai ,
Angkara kulit yang punah ternoda,
Maka gelora menusuk dada sasa,
Dan bisa luka menyinar kelam,
Lalu lusuh kalbu bersama durja,
Menjadi sisa alam yang akan binasa,
Belangsungkawa syurga kepada derita.

Sunday, 17 June 2012

ABAH




Bapaku drebar,
Dari jalanan,
Kami didewasakan,
Dan persimpangan,
Menjadi liku hidupnya,
Bersama kecekalan,
Dia terus memandu.

Bapaku drebar,
Hidupnya stereng dan gear,
Setiap kilometer membawa usianya,
Dan sudah jauh dia mengembara,
Mungkin dia lebih memahami kereta,
Dan ceruk pelusuk kota,
Tetapi dia tetap bapa yang terhebat.

Bapaku drebar,
Sabar melayan karenah manusia,
Marah bukan caranya,
Seperti kami,
Diajar dari kisah dan tauladan,
Dari dirinya sifat kami disemaikan,
dan senyumannya,
membawa fikiran akan baik buruk tindakan.

Bapaku drebar,
Tidak,
Dia raja di jalanan,
Memandu kami,
Mengenal erti menjadi manusia.

Friday, 15 June 2012

JERIH YANG INGIN PERGI



Untuk kita membuka segenap lapangan minda,
Maka sia-sialah tanpa secebis nama,
Kerna manusia dan jiwanya,
Cuma patuh pada kuasa tanpa rasa,
Lantas buka matamu,
Dengan tangan yang dikurnia,
Bersama getaran rohani yang simpati,
Supaya kita selamanya,
Akan meniti landasan buatan sendiri,
Yang suci dari noda dunia.

Mengapa sentuhan hati insani,
Tiada daya untuk merubah benci,
Belum bisa merobek pekungan dengki,
Sedang kita sama secara zahirnya,
Dan mata kita menerka haluan yang serupa,
Dari nostalgia yang memberi cahaya,
Mambawa kita kepada era seluas semesta.

Sayangnya kita mudah terlena,
Alpa dibuai nilai yang membeli budi,
Tidak ingin terjaga,
Dalam mimpi yang kembang mekar,
Mengulit jutaan gembira membuang dusta,
Dan selamanya kita ingin di dalamnya,
Mengecap nikmat fantasi,
Tanpa memikirkan kalau realiti,
Berlalu meninggalkanmu bersama waktu,
Hanya tersedar apakala gempita menjemput kita.


Friday, 8 June 2012

LITANI




Kudrat yang memudar,
Terbeban menarik bayangan,
Legap milik sendiri,
Kerana dosa-dosa,
Tidak terampun,
Atau belum dilunas,
Canggahan yang mencabar,
Kuasa alam dan ketuhanan,
Merungkai lemahnya hamba,
Tiada terkejar,
Laluan orbit sang mentari,
Belikat empat kerat,
Belum bersedia beralih,
Menghadap renungan rembulan,
Walau tirai cakerawala,
Melabuh pada detiknya,
Janji telah sempurna,
Maka ampunkan daku.

Thursday, 7 June 2012

KONGSI YANG DINAFI




Ruangan kecil,
Dari lubuk hatiku,
Perlu kembali,
KepadaMu yang selayaknya,
Pemilikku dari jantung,
Berdegup dan berhenti,
Menyisihkan rusuk kiri,
Indah mempesona,
Warna-warni dunia,
Teguh di atas takhtaku,
Sebelum jatuh menjemput,
Memberi erti hidup dan jalanan,
Walau getar sesekali,
Singgah dihati kala sunyi,
Tika mata menjadi saksi,
Ah! lancungnya iman.

Sunday, 3 June 2012

MUQADIMMAH




Hembusan nafas,
Degupan jantung,
Dan denyut nadiku,
Terucap kalimah syahdu,
Menyingkap esa dan kuasanya,
Kerana putik cinta,
Kerana nikmat dan pengharapan,
Kerana kerdilnya hamba.

Khilaf usia lalu,
Menyuntik noda dosa,
Kabur penglihatan dan mata hati,
Berkongsi rasa bersama dunia,
Hanyut dalam gelora jiwa resah,
Menagihkan nyawa kedua,
Bawa aku kembali.

Yang indah sesuci pagi,
Cuma di sini,
Paksi cinta tulus dan hakiki,
Tanpa sangsi pada kesetiaan,
Tanpa ragu rindu bersendirian,
Pesonanya seluas alam ciptaan,
Tiada lancung permainan,
Hanya padamu tuhan,
Aku merasai cinta dan ihsan.