Thursday, 9 August 2012

MERDEKA



Bernafas pada udara Malaysia,
Nyaman ini telah menemani kita sekian lama,
Belaian puput merdeka,
Sebati bersama dalam jiwa,
Maka sudah terbinakah satu bangsa,
Yang berdaulat dengan acuan kita sendiri,
Bebas minda dan jiwa murni,
Menghargai semula nilai dan maruah manusia.

Tetapi,
Buktinya adalah ironi,
Bayi-bayi suci,
Masih bergelimpangan di jalanan piatu,
Jauh dari berbin dan berbinti,
Nyawa adalah milik hakiki,
Dimainkan di layar derita manusia tidak berdosa,
Sujud dan melutut takut,
Pada nafsu menafikan deras akal,
Hanyut dalam imaginasi,
Binaan jalanan dan najis narkotik,
Umpama dunia cuma sampai di sini.

Namun,
Bentang alam ini maha luas,
Dari satu pelusuk kecil,
Kebuluran yang bermaharajalela,
Agama adalah patung boneka kuasa,
Lemah terus menderita,
Menyanjung politikus maya,
Tangan yang menghulur,
Menjadi jenayah termahsyur,
Sedangkan perang dan tindasan,
Buta untuk mata menerka,
Atau cuma,
Herdikan keras yang mereka terima,
Sedikit pun tidak menyentuh takhta.

Apakala mentari harapan menyinsing,
Bangunkan aku daripada kerlap panjang,
Kerana aku adalah aku,
Dan kamu tetap kamu,
Bukan menafikan jambatan kasih merintang,
Aku sudah letih bermimpi buruk,
Sedangkan lena malam-malamku,
Didodoi angin merdeka yang ke- 55,
Bintang-bintang kemegahan,
Tidak lagi mustahil untuk digapaikan,
Persuratan misteri yang terbuku,
Biarkan dilerai anai-anai,
Menghapus janji yang pernah dimeterai.

1 comment:

  1. seorang hamba yang merdeka,
    tidak terjerat pada politikus maya, mahupun buhul ilusi yang abstrak tanpa penampan mapan.
    seorang hamba merdeka, rantai hatinya menghubung terus pada Langit sana.:)

    ReplyDelete