Thursday, 17 October 2013

TIK TOK SIMPATI

detik berlalu,
kujur tubuh ini alpa lagi,
pada taman dunia,
kerahan tenaga melangkau kudrat,
jauh dari susunan jalan kehidupan,
menuju pengabdian dambaan sekalian hamba.

sekali lagi,
pohonan ampun berat terucap,
mengisi lopong2 dosa,
umpama kata tiada bermakna,
tiada berbekas kepada pendoa,
masih muda untuk dunia.

kala subuh bakal menjelang,
semalam dibiar berlalu,
sekadar mengisi halaman 60 ke 70 muka,
meski dakwat yg mencoret tidakkan lelah,
haruskah naskhah ini lupus dimamah usia,
saat noktah diletak pada tempatnya,
apakah bekalan menuju kesana.

layarkan kisah suka buat ku.

Saturday, 11 May 2013

DIALOG AKU & HATI 4

A  : Butuh kamu,
      Sandaranku luluh lagi,
      Dikesempitan,
      Dan jurang titian peduli,
      Jauh dari kebiasaan.

H  : Teguh,
      Selami diri,
      Kerna aku masih cakna,
      Dan detik berlalu tadi,
      Kamu bukan kamu,
      Terbias landasan,
      Sandaran itu masih di situ.

A  : Pautan itu sebati,
      Mengalih aku,
      Kepada gundah jiwa resah,
      Dan rebah,
      Sisih dalam kebarangkalian,
      Panggilan tiada bersahut.

H  : Jangan.  

Wednesday, 10 April 2013

DIALOG AKU & HATI 3

A : Tenang,
      Tergapai impi,
      Dibuai mimpi,
      Melengkap lembaran hari,
      Naskhah hidupku mulai terpatri.

H : Senyum,
     Hentian ini,
     Buat melepas lelah,
     Jalanan ini masih terhidang,
     Tunggu dijamah.

A : Bukan sendiri,
      biar badai merintang,
      dan hari menghampir malam,
      cahayamukan di samping,
      Sentiasa.

H : Senantiasa,
     Kini kau lebih mengerti,
     Jauh dari teteran sedu,
     Ayuh,
     Aku ingin berlari.

Friday, 22 March 2013

JALAN DARI AWAN



Berlari dari langit,
Sama membina alur,
Menghempas bumi,
Dan akhirnya perlina,
Jalanku yang ditentukan,
Dibawa angin,
Menjadi titisan harapan,
Kesempatan yang maha laju,
Tetapi berterusan,
Menimba pengalaman,
Dari robek-robek hujan,
Langkahku diteruskan.

Friday, 8 March 2013

FIFI





Apaku punya pilihan,
Untuk tidak memilih duka,
Sebagai pengakhiran sempurna,
Kala putik dahliaku layu,
Atau dinoda kumbang kuning,
Dengan sepitan hipokrasi.

Dahliaku,
Mencuri kewarasan,
Menggoncang keimanan,
Hingga aku bisa mendaki,
Gunung harapan palsu miliknya,
Lantas aku terjatuh,
Tanpa sambutan kasih,
Hempasan ke bumi,
Meleraikan kaca hati.

Perlukah aku terus memuja?
Pesona dahliaku yang memukau,
Dan wangian ke nurani sejati.

Saturday, 2 March 2013

PASAR NILAI




Usia senja merangkak,
Punah jiwa remaja,
Kala kudrat menafikan daya,
Suntuk itu biasa,
Tetapi akal tua belum bersama,
Masih mencanak dalam berdosa,
Alpa pada fungsi dan peranan,
Dan tanggungjawab yang membeban,
Kerana kononnya bukan kita yang memilih,
Jalanan dunia ini mahal,
Percuma itu bahan tertawa yang mustahil,
Urusniagalah kunci kepada penghidupan,
Yang terkuasa oleh tangan kita sendiri.

Thursday, 14 February 2013

PEDULI




Putaran,
Kesinambungan yang tidak akan kembali,
Iri melihat senang,
Gerak-gerak kelajuan,
Menuntut cita dimamah masa,
Biarkan berlalu,
Teruja bagai nadi,
Angkuh dan liar pergi,
Seperti tikus-tikus cuak,
Mengejar ekor sendiri,
Hingga penat,
Dan lelah,
Dan menunggu mati,
Percuma tanpa punca,
Usah dipersetankan,
Bangkainya nanti,
Akan terbiar,
Kerana ‘jasad’ itu,
Tiada nilai disisi semua,
Bukan bebanan sesiapa.

Thursday, 31 January 2013

BAKI



Daripada cebisan syurga,
Pengharapanku perlina,
Jauh dari nur hakiki,
Menolak dunia dan isinya,
Untuk kembali berdiri.

Pautan lemah,
Meragut simpati hati,
Kerana dosa yang mendamba,
Terhambat ku ke penghujungan,
Rebah lagi tanpamu.

Jalanku bukan di sini,
Meski rindu menghembus malamku,
Dan bisa menjadi tegal luka,
Ada sesuatu yang belum selesai,
Panjang dan menanti disempurna,
Biarkan aku berlalu.

Monday, 7 January 2013

DIALOG AKU & HATI




A:        usah menangis hati,
            Meski kita berlalu pergi,
            Harus ada yang tertinggal,
            Dan ruang kosong itu,
            Bukan untuk diisi lagi,
            Biarkan terbekas,
            Luka,parah dan luluh,
            Sepi membawa diri.

H:        mengapa harus begitu?
            Aku dibiar nanah,
Apa kau menyalahi fitrah,
Meragukan ketentuan qada’ dan qadar,
Pedoman gelap hilang cahaya,
Picisan kerdip pun kau usir,
Seksa adalah pilihanmu,
Tolong,
Lengkapi aku.

A:        jawapan kepada kegundahan,
            Bersarang dan menjangkiti,
            Bukan padaku,
            Benar,bukan padaku,
            Susurilah satu pecahan malammu,
            Daripada tiga yang terbahagi,
            Dayaku adalah kamu,
            Maka ayuh,
            Jangan menanti bulan,
            Kerana pungguk pun sudah terbang,
            Pergilah,
            pergi bersama tuhan.

H:        kata yang terucap,
            Biar memberi erti,
Dayamu adalah aku,
Tapi kamu yang membawaku ke situ,
Jalanku tidak kosong,
Ada emosi,rasa dan nafsu menanti,
Gentarkah kamu?
Tegar lagi untuk kembali,
Penuh sudah dadamu diisi ilmu?
Renung mataku.

A:        …………..

Wednesday, 2 January 2013

DIALOG AKU & HATI 2




A:        kalau aku salah lagi,
            Apakan ku kau usir?
            Memisahkan tautan dan jalinan,
            Semenjak bulan sepi pergi,
            Dan aku kabur sesat dalam gelita,
            Pasrah.

H:        jangan menguji isiku,
            Dengan lontaran yang berselindung,
            Gusar untuk menelan pahit,
Tanpa aku bisa mengerti,
Lancung tangan,kaki dan belikat bengkuk,
Cairkan keras-keras simpati,
Luahkan jika belum mampu ditelan,
Jernih.

A:        sudah jauh aku berlari,
            Simpang itu telah perlina,
            Kini aku hanyut mengikut arus,
            Tanpa arah dan tujuan,
            Rindu kepada hangatnya kebenaran,
            Gigil di bumi asing,
            Tenggelam dalam deras pawana,
            Tenat.

H:        turuti aku,
            Sisihkan aku,
            Teruskan begitu,
            Kembali bersatu,
            Pilihan padamu,
            Anugerah.

A:        seperti selalu,
            Dahulu.